Print

Sekapur Sirih Pengarah

 
 
Assalamualaikum Wrh. Wbt.
 
Pertamanya, alhamdulillah saya dengan penuh rasa rendah diri bersyukur kehadrat Ilahi kerana atas limpah kurnia-Nya diberikan kepercayaan dan amanah untuk mengemudi Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP) yang berperanan membangunkan kemahiran insaniah anda semua sebagai pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
 
Selaras dengan seruan dan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia, saya dan semua kakitangan PPHP bertanggungjawab menawarkan dan menguruskan hampir 100 kursus kokurikulum berkredit melalui 6 teras utama iaitu Kebudayaan, Kemasyarakatan & Sukarelawan, Keusahawanan & Pembinaan Diri, Sukan, Pasukan Beruniform Tanpa Senjata dan Pasukan Beruniform Bersenjata. Kesemua teras ini telahpun diperakui oleh Majlis Kokurikulum Universiti-Universiti Malaysia (UniCC) untuk dilaksanakan di UniSZA.
 
Usaha berterusan kami membangunkan bakat dan kemahiran insaniah semua pelajar melalui kursus-kursus ini ternyata telah membuahkan banyak kejayaan hebat, antaranya penganjuran pelbagai program bertaraf kebangsaan dan antarabangsa, juga kejayaan merangkul deretan anugerah tokoh siswa peringkat universiti dan kebangsaan. Kami juga seringkali menjadi rujukan utama masyarakat dan rakan universiti lain dalam perkongsian ilmu dan kemahiran serta aktiviti kesukarelawanan.
 
Kami percaya ini semua berjaya dicapai melalui kombinasi komitmen hebat kesemua 14 kakitangan PPHP dan kepercayaan penuh anda untuk kami membangunkan potensi anda semaksimanya. Sesungguhnya hanya Allah yang mampu membalas segala yang telah disumbangkan selama ini, insyaallah.
 
Kami juga sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan membina untuk terus memperkasakan agenda membangunkan kemahiran insaniah anda semua, selaras dengan moto UniSZA "Ilmu demi faedah insan". Di samping itu, kami berharap agar laman web PPHP ini berupaya menjadi medium rujukan anda dalam mendapatkan informasi semasa PPHP.
 
Akhir kata, saya mewakili semua kakitangan PPHP berdoa kepada Allah agar merahmati segala yang telah diusahakan selama ini dan mempermudahkan semua perancangan, demi anda semua, bakal pemimpin masa hadapan!
 
Terima kasih.
 
 
Pengarah
Pusat Pembangunan Holistik Pelajar
Universiti Sultan Zainal Abidin
Terengganu Darul Iman