Bengkel Pengurusan Kokurikulum Bersama Universiti Awam Malaysia di UMS
Kota Kinabalu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menerima kunjungan delegasi daripada Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP) bagi menghadiri Bengkel Pengurusan Kokurikulum. Kunjungan delegasi ini diketuai oleh Pengarah PPHP, Kapt. Dr. Akila bin Mamat, yang diiringi oleh staf pengurusan dan pentadbiran.
Delegasi tersebut disambut mesra oleh Prof. Madya Dr. Jurry Foo, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, UMS, bersama para staf pusat tersebut. Bengkel ini bertujuan untuk bertukar pandangan serta memperkukuh kerjasama dalam pengurusan kokurikulum di kalangan universiti awam Malaysia.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Prof. Madya Dr. Jurry Foo yang mengalu-alukan kehadiran delegasi dari UniSZA. Beliau menekankan kepentingan pengurusan kokurikulum yang berkesan dalam pembangunan pelajar di UMS. Kapt. Dr. Akila bin Mamat dalam ucapan balasnya menyatakan hasrat PPHP untuk memperkukuh hubungan kerja sama serta menambah baik pengurusan kokurikulum di institusi masing-masing.
Sesi pembentangan oleh Prof. Madya Dr. Jurry Foo turut merangkumi beberapa topik utama, antaranya:
1. Kursus kokurikulum wajib di UMS,
2. Pra-syarat pengambilan kursus kokurikulum,
3. Modul kursus kokurikulum, serta
4. Kaedah pengurusan kewangan dan pentadbiran yang digunakan di UMS.
Bengkel ini diharapkan dapat menghasilkan hasil kerjasama yang lebih erat dalam meningkatkan kualiti pengurusan kokurikulum dan memajukan pembangunan holistik pelajar di universiti-universiti awam Malaysia.