Kembara Merdeka Hero Komuniti dan pelancaran Kampung Angkat UniSZA
Khamis, 29 Ogos 2024, program Kembara Merdeka Hero Komuniti dan pelancaran Kampung Angkat UniSZA telah diadakan dengan jayanya di Kampung Shukor, Dungun. Program ini melibatkan seramai 70 orang pelajar sukarelawan dan 80 orang kakitangan UniSZA yang menyertai konvoi bermotosikal yang diketuai oleh Encik Muzafar bin Mohd Din, Pendaftar UniSZA dan diiringi oleh Kapt. Dr Akila bin Mamat, Pengarah PPHP.
Program bermula seawal 7.30 pagi, di mana pelajar berkumpul di Foyer Asrama sebelum bertolak ke destinasi. Majlis pelepasan rasmi konvoi tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff, Timbalan Naib Canselor Hepa UniSZA.
Setibanya di Kampung Shukor pada pukul 9.00 pagi, para peserta memulakan aktiviti sukarelawan dengan membersihkan kawasan kampung dan balai raya yang terjejas akibat banjir besar yang melanda pada awal tahun 2024. Penyerahan Bakul Rahmah kepada penduduk setempat juga dilaksanakan yang diketuai oleh YBrs. Dr. Mohd Firdaus bin Yahaya, Timbalan Pengarah Akademik PPHP (Hasil sumbangan kutipan bakul rahmah daripada 50 Ptj yang mengandungi pelbagai barangan makanan). Selain itu, pemeriksaan kesihatan turut diadakan dari rumah ke rumah, yang diketuai oleh Dr. Yusmina binti Mohd Yusof dari Kolej Kediaman dan Kesihatan Pelajar UniSZA.
Konvoi bermotosikal tiba di Kampung Shukor sekitar jam 12.00 tengah hari dan disambut mesra oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bersama penduduk kampung dan sukarelawan UniSZA. Selepas itu, para peserta menikmati makan tengah hari, berehat, dan menunaikan solat Zuhur.
Majlis utama bermula pada pukul 2.00 petang dengan ketibaan YBhg. Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff, Timbalan Naib Canselor HEPA. Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan IImu Demi Faedah Insan, diikuti dengan bacaan doa oleh YBrs. Dr. Mohd Firdaus bin Yahaya, Timbalan Pengarah Akademik PPHP.
Ucapan aluan disampaikan oleh YBrs. Dr. Akila bin Mamat, Pengarah PPHP, sebelum majlis perasmian yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff. Kemuncak majlis ialah gimik perasmian Kembara Merdeka Hero Komuniti dan pelancaran Kampung Angkat, diikuti dengan penyerahan cenderahati kepada YM Tengku Md Hamdan bin Tengku Mahmud, Pengerusi JPKK Kampung Shukor.
Majlis diakhiri dengan minum petang dan peserta bersurai pada pukul 3.30 petang sebelum bertolak pulang ke UniSZA pada pukul 4.00 petang. Program ini bukan sahaja memperkukuh semangat kemerdekaan dalam kalangan peserta, tetapi juga mengukuhkan hubungan antara mahasiswa, kakitangan dengan masyarakat setempat.
Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Polis Trafik Kuala Terengganu (PDRM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atas kerjasama mengiringi konvoi motosikal.

![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|