Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) Semester I Sesi 2024/2025
Pada 25 Oktober 2024, Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) Semester I Sesi 2024/2025 telah diadakan di Kem Merang, disertai seramai 114 ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJK) Kokurikulum Berpakej dan Tidak Berpakej dari Kampus Gong Badak dan Kampus Besut. Turut terlibat adalah tujuh orang Perwakilan Pelajar Badan Beruniform (PPBU) yang bertindak sebagai fasilitator bantuan dalam mengendalikan kursus ini. Program ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Akademik, Dr. Fuadi bin Pargi.
Slot pertama dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Kemahiran Insaniah, Encik Hasbullah bin Ismail, yang mengupas mengenai peraturan aktiviti wajib yang perlu dijalankan oleh pelajar serta pelaksanaan projek akhir sepanjang semester ini. Selain itu, Perkhemahan Perdana Badan Beruniform juga telah dirancang untuk diadakan pada 21 hingga 23 November 2024, melibatkan semua badan beruniform. Cadangan tarikh bagi aktiviti projek akhir adalah pada 7, 14, dan 21 Disember 2024 serta 4 Januari 2025, dengan tema “Hero Komuniti.” Projek ini akan dijalankan di lokasi sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, dan Marang. Slot kedua disampaikan oleh Encik Amar bin Othman yang mengulas tentang prosedur kewangan program dengan mendalam, termasuk borang-borang yang perlu diketahui. Seterusnya, Encik Ahmad Hafiz Hilmi bin Salleh mengetengahkan aspek pentadbiran, penyediaan minit mesyuarat, serta tatacara pengisian kertas kerja yang betul. Slot terakhir disampaikan oleh Saudara Mohamad Asyraf Sham bin Ramli, wakil pelajar PPBU, yang memberi penerangan terperinci mengenai tatacara pengisian Sistem Profil Pelajar (SPP).