Selamat datang ke laman web rasmi Pusat Pembangunan Holistik Pelajar, Universiti Sultan Zainal Abidin40 Tahun UniSZA utama

Pertanyaan?

09-668 8313

Alamat

UniSZA, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu

Pegawai Kadet Kor Suar UniSZA Ditauliahkan Pegawai Integriti Muda

 
Kuala Terengganu, 19 Oktober - Seramai 39 Pegawai Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) kumpulan kedua dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Muda (YIO) di sini, hari ini.
Majlis Tamat Latihan dan Pentauliahan Pegawai Integriti Muda Kor SUAR, dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Kuala Terengganu, Terengganu.
Pegawai kadet yang terdiri daripada 12 kadet lelaki dan 27 kadet wanita itu merupakan para pelajar yang terdiri daripada pelbagai jurusan.
Tan Sri Azam berkata, kursus Kor SUAR ini diwujudkan bukan sahaja untuk melahirkan mahasiswa terpelajar tetapi juga membina sahsiah diri sebagai mahasiswa yang mempunyai tatakelola dan integriti tinggi.
“Para pelajar yang menyertai kursus ini akan diberi penekanan mengenai nilai-nilai integriti kerana integriti bukan satu perkara yang mudah.
“Pada semester akan datang, kursus ini akan diperkasakan dengan program latihan persenjataan yang bertujuan membentuk sahsiah dan juga sebagai simbolik menghadapi dunia realiti pada masa akan datang,” katanya.
Pada majlis yang sama, buat julung kalinya logo dan bendera Kor SUAR turut diluncurkan di mana ia melambangkan sifat Amanah, Tegas dan Adil yang menjadi prinsip kepada penyatuan warga kadet bagi menjayakan aspirasi SPRM dalam setiap tindakan serta semangat yang berani dan sentiasa berjuang membanteras jenayah rasuah.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff berkata, UniSZA merupakan universiti awam pertama yang menawarkan kursus Kor SUAR dan pelajar yang ditauliahkan ini merupakan pelapis kepimpinan negara yang bakal mencorak masa depan serta hala tuju negara yang lebih gemilang.
Dalam majlis ini, Nuraneesa Farzana Mohamad Yusof dianugerahkan Anugerah Akademik Terbaik manakala Mohamad Alif Amza Afendi menerima Anugerah Khas Kor SUAR, dan Anugerah Kadet Keseluruhan Terbaik menjadi milik Che Muhammad Daniel Adry Che Ros.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr Zuhairah Ariff Abd Ghadas; ahli-ahli Lembaga Pentauliahan Pegawai Integriti Bertauliah; Pengarah -pengarah Bahagian dan Negeri SPRM. ‎
 
 
 
     
     
     
     
     
 

 

Hubungi Kami

Pusat Pembangunan Holistik Pelajar
Pej. Timb. Naib Canselor HEPA & Alumni
Universiti Sultan Zainal Abidin
Kampus Gong Badak
21300 Kuala Nerus
Terengganu Darul Iman

  09-668 8313
  pphp@unisza.edu.my
logo3d left

Lokasi

Ikuti Kami