Aluan Pengarah PPHP
Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakaatuh dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana masih diberi peluang untuk bernafas di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan jujur, ikhlas dan penuh amanah. Sesungguhnya tahun 2022 merupakan satu lembaran baru dan sangat dinanti-nantikan oleh semua warga Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP) yang memainkan peranan utama dalam perkembangan dan pembangunan kemahiran insaniah para pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Sementelah lagi, kita masih menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam menangani ancaman pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada warga PPHP atas komitmen dan kerjasama yang amat tinggi dalam usaha melahirkan para pelajar UniSZA yang holistik dan seimbang dari segi intelek, emosi, rohani, fizikal dan jasmani sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menetapkan matlamat utama pendidikan negara berteraskan pegangan teguh dan kepercayaan kepada tuhan. Sesungguhnya era pandemik benar-benar menguji kita selama ini. Walau bagaimanapun, alhamdulillah berkat usaha dan komitmen semua kita berjaya melaluinya. Akhir kata, semoga segala usaha dan komitmen ini dapat diteruskan dengan lebih bersemangat lagi dan menjadi batu loncatan kepada kita semua untuk mencapai misi UniSZA dalam melahirkan insan holistik dengan nilai-nilai naseem melalui pendidikan cemerlang dan penyelidikan berimpak tinggi dalam memperkasakan masyarakat. Sekian, wassalam. ‘ILMU DEMI FAEDAH INSAN’ KAPT. DR. AKILA BIN MAMAT |