Print

Kursus Pengurusan Organisasi Kokurikulum Pakaian Seragam

JANDA BAIK – Pusat Pembangunan Holistik Pelajar telah menganjurkan Kursus Pengurusan Organisasi "Kem Waja Diri Dan Kepimpinan Pakaian Seragam" yang berlangsung dari 1 hingga 4 Februari 2017 bertempat di 101 Resort,Janda Baik, Pahang. Aktiviti dalam kursus ini bermula dengan aktiviti kemahiran penyelesaian masalah dalam kumpulan yang telah dijalankan sekitar Kuala Lumpur bermula dari Masjid Negara, Tasik Perdana, KL Sentral dan pusat membeli belah Sogo sebelum semua peserta dibawa ke Janda Baik, Pahang.

Para peserta dikehendaki untuk membeli barangan keperluan yang telah ditetapkan dengan menggunakan perbelanjaan yang paling minimum dan pantas. Kursus pada kali ini telah disertai oleh seramai 30 orang peserta terpilih yang melibatkan pengerusi dan setiausaha setiap kokurikulum pakaian seragam yang dilantik bagi semester II 2016/2017 merangkumi pelajar Diploma Kohort Baharu dan Ijazah Sarjana Muda.

Matlamat utama kursus ini diadakan adalah untuk membimbing para peserta bagi mengaplikasikan kemahiran insaniah yang telah mereka pelajari dalam aktiviti dan program yang bakal mereka anjurkan dalam badan kokurikulum masing-masing pada masa akan datang. Di samping itu, kursus ini juga penting bagi meningkatkan kualiti kepimpinan pada masa akan datang.

|| Galeri ||