Print

Eksplorasi Kenyir Kokurikulum Kayak

Kor Kayak UniSZA sesi 2017/2018 telah berjaya menganjurkan program ekplorasi kayak yang melibatkan komuniti luar, serta telah mendapat maklumbalas yang positif daripada para peserta yang terlibat.

Program yang diadakan selama tiga hari dan dua malam ini merupakan satu program yang dianjurkan oleh Kor kayak UniSZA bagi melengkapkan tugasan projek akhir. Program “Eksplorasi Kayak UniSZA dan UMT ke Tasik Kenyir” ini telah berlangsung pada 16 sehingga 18 November 2017 bertempat di Makmal Alami UniSZA, Tasik Kenyir. Seramai 38 orang peserta dan tiga orang fasilitator iaitu Encik Latif Bin Ali, Encik Mohd Azamrul Bin Harun dan Cik Nor Asma Fadzila Binti Mansor telah menyertai program ini. Para peserta dari Ko Rekreasi UMT terdiri daripada 34 orang pelajar dan seorang pegawai UMT turut bersama-sama menjayakan eksplorasi pada kali ini.

Objektif utama program “Eksplorasi Kayak UniSZA dan UMT ke Tasik Kenyir” ini adalah untuk meningkatkan kemahiran mahasiswa dalam komunikasi sosial dengan komuniti luar. Program eksplorasi ini telah berjaya membina semangat bekerjasama dan menambah baik kemahiran insaniah dalam kalangan ahli kor kayak dan Ko Rekreasi dari UMT. 

Antara aktiviti yang dijalankan ialah aktiviti berkayak bersama-sama pelajar Ko Rekreasi UMT dari Kem Lawit ke Sungai Sauh sejauh 8 KM yang mengambil masa selama tiga jam, serta aktiviti membina trek pejalan kaki di Makmal Alami UniSZA. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan telah memberi pengalaman yang berharga kepada para peserta ahli kor kayak.

Semoga dengan penganjuran “Eksplorasi Kayak UniSZA dan UMT ke Tasik Kenyir” ini dapat memberi pengalaman kepada para peserta di samping menambah baik kemahiran insaniah dalam diri pelajar.

|| Galeri ||

Print

Kenali UniSZA Melalui “The Amazing Race UniSZA”

 

KUALA NERUS - Seramai 240 orang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu telah menyertai program ‘The Amazing Race UniSZA’ yang dikendalikan oleh kelas Asas Pengucapan Awam (B) di bawah kendalian Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP), UniSZA. Program ini merupakan projek akhir kelas Asas Pengucapan Awam (B) bertemakan ‘Sedekad UniSZA’ dengan fokus UniSZA dan patriotik. Program ini telah diadakan pada 14 Oktober 2017 (Sabtu) bertempat di UniSZA, Kampus Gong Badak.

Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk membina hubungan baik dengan komuniti serta semua  pelajar yang terlibat. Program ini juga bertujuan memastikan semua pelajar yang terlibat mengetahui sejarah perkembangan UniSZA. Selain itu, program ini juga merupakan platform memupuk semangat patriotisme dalam diri pelajar.

Beberapa aktiviti telah dijalankan bagi mencapai objektif utama program ini. Antaranya ialah program khidmat masyarakat dengan para peserta mengutip sampah dan membersihkan kawasan yang ditetapkan. Seterusnya, ‘nature unisza’ iaitu para peserta menghias kad manila dengan bahan semula jadi yang diperolehi di kawasan sekitar. Di samping itu, terdapat juga aktiviti bertemakan sedekad UniSZA dengan para peserta diminta membuat lukisan yang menggambarkan UniSZA. Aktiviti bertemakan patriotisme turut dijalankan dengan para peserta diminta untuk mencari barang yang berkaitan dengan UniSZA sambil membawa bendera Malaysia secara beramai-ramai. Akhir sekali, aktiviti berkaitan dengan pengucapan awam iaitu peserta dikehendaki untuk menyampaikan ucapan selama lima minit berkaitan UniSZA.

Perasmian penutup bagi program ‘The Amazing Race UniSZA’ ini telah disempurnakan oleh Encik Alias Abdullah dari Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP). Turut hadir ialah fasilitator kelas Asas Pengucapan Awam (B), Encik Mohd Shahrizal Nasir yang juga penasihat program. 

|| Galeri ||